mutakhir

Rosmah minta sumbangan RM187.5 juta - saksi [METROTV]

Oleh BERNAMA

RAKAN perniagaan kepada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bahawa Datin Seri Rosmah Mansor meminta sumbangan RM187.5 juta iaitu 15 peratus daripada RM1.25 bilion nilai projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak untuk membantu Jepak mendapatkan projek berkenaan.

Pengarah Nanocarb Technology Sdn Bhd, Rayyan Radzwill Abdullah, 40, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Rizal Mansor, yang ketika itu pembantu Rosmah ketika perjumpaan di sebuah Bistro di Sunway Putra Mall Kuala Lumpur, antara Januari dan Februari 2016.

"Datuk Rizal berjumpa saya dan Saidi di restoran itu dan ketika perjumpaan itu Datuk Rizal mengatakan semuanya 'okay' cuma peratus sumbangan perlu dinaikkan kepada 15 peratus kerana Datin Seri Rosmah inginkan 15 peratus daripada jumlah RM1.25 bilion nilai projek itu.

"Jadi jumlah sumbangan 15 peratus berkenaan adalah bersamaan RM187.5 juta. Saidi mengatakan jumlah itu tinggi dan ia perlu dikurangkan sikit kerana Saidi perlu jaga ramai orang lagi.

"Datuk Rizal mengatakan akan semak dan maklum kembali dan beliau juga meminta bahagiannya sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi. Saidi menyatakan 'okay' sebagai tanda setuju dengan permintaan Datuk Rizal," katanya.

Menurut saksi ke-16 pihak pendakwaan itu, Rizal kemudiannya menghubungi beliau dan memberitahu duit sumbangan 15 peratus bersamaan RM187.5 juta adalah muktamad dan tidak boleh diubah dan memintanya memaklumkan perkara berkenaan kepada Saidi.

"Saya kemudian menghubungi Saidi dan memaklumkan beliau mengenai perkara itu," katanya yang membacakan penyataan saksinya pada hari ke-16 perbicaraan kes Rosmah yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Terdahulu, Rayyan Radzwill berkata, Saidi memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan menghubungi Rizal bagi mendapatkan sokongan Rosmah untuk melancarkan proses Jepak mendapatkan projek solar itu selepas KPM tidak memberi maklum balas berhubung pembentangan mereka berkenaan projek itu.

"Satu perjumpaan dibuat pada Januari atau Februari 2016 di antara kami berdua dengan Datuk Rizal di sebuah Bistro pada waktu malam dan antara isu yang dibincangkan berkenaan tindakan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan ketika itu) yang tidak memberi sebarang respons kepada Saidi dan Jepak biarpun perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengeluarkan minit arahan untuk melaksanakan projek solar hibrid Jepak.

"Dalam pertemuan itu, Saidi ada bertanya mengenai peratus sumbangan yang perlu diberikan kepada Rosmah sekiranya beliau setuju membantu Jepak untuk mendapatkan projek solar itu dan Datuk Rizal menasihati Saidi dan saya supaya menawarkan sumbangan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus daripada nilai projek solar berkenaan.

"Datuk Rizal juga meminta Saidi memulakan tawaran bermula dari 10 peratus terlebih dahulu supaya dapat nego (runding) dan henti di takat 15 peratus dari nilai projek itu," katanya.

Saksi itu berkata, beberapa hari kemudian, beliau dan Saidi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dan antara isu yang dibincangkan adalah berkenaan sokongan Rosmah dalam projek solar hibrid dan sumbangan yang hendak diberikan oleh Jepak kepada isteri bekas perdana menteri itu atas bantuan yang diberikan.

"Saidi menawarkan 10 peratus sebagai sumbangan kepada Datin Seri Rosmah dan beliau menjawab dengan mengatakan 'keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang" dan 'kita tengoklah nanti'," katanya yang turut memaklumkan perjumpaan itu berlangsung selama 10 minit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 4:47pm
d