mutakhir

Mujur sempat pindahkan barang...

Oleh Hassan Omar

"ALHAMDULILAH, sebelum paras banjir semakin naik...saya dan anak sempat memindahkan barangan di dalam kedai ke lokasi lebih tinggi dan ke rumah ibu yang kosong.

"Hujan lebat bermula jam 6 petang semalam menyebabkan kedai saya dinaiki air bermula jam 9 malam," ujar peniaga di Kampung Bangsal Atap, Lubok Cina, Alor Gajah di sini, Rohaya Ibrahim, 57.

Dia segera memindahkan pelbagai barangan jualan seperti tudung saji dan buah-buahan di kedainya sebaik mendapati hujan berlaku tanpa henti.

"Anak perempuan saya berusia 19 tahun membantu proses memindahkan semua barangan.

"Pengalaman dilanda banjir pertengahan tahun lalu memberi pengajaran kepada saya supaya bertindak pantas," katanya.

Rohaya mengakui ketika itu dia mengalami kerugian besar apabila kebanyakan barangan diniagakan gagal dipindahkan sebelum air Sungai Timun berhampiran kedainya melimpah.

"Kali ini kami lebih berhati-hati bagi mengelakkan kerugian berulang lagi," katanya.

Menurutnya, Sungai Timun yang hanya kira-kira 10 meter dari kedainya dikatakan mengalami mendapan lumpur sejak beberapa tahun lalu yang menyebabkan ia tidak mampu menampung peningkatan kapasiti air pada musim hujan.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah memperdalam sungai berkenaan bagi melancarkan aliran air, terutama pada musim hujan seperti sekarang.

Katanya, limpahan sungai berkenaan bukan setakat menyebabkan kedai dan rumah ibunya dinaiki air, malah tiga rumah jiran yang tiada penghuni di sekitar kedainya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 5:02pm
d