mutakhir

Ulama 'jumpa' pengkaji hadis [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

ULAMA dan pengkaji hadis 'bertemu' di Dewan Rakyat hari ini memperjelaskan mengenai dua terjemahan hadis mengenai kemiskinan yang dibacakan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Ia bermula apabila Ahmad membaca sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan Abu Naim, mengenai kemiskinan itu dekat dengan kekufuran sebelum menjadi 'perbahasan' antara Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) dan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam).

"(Dan) Nabi Muhammad SAW dalam hadis Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad berdoa yang bermaksud, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kekufuran dan kefakiran dan aku berlindung denganMu daripada azab kubur, tiada Tuhan melainkan Engkau," kata Ahmad.

Ahmad kemudian meminta Nik Muhammad Zawawi yang juga seorang ulama dan Ketua Dewan Ulama PAS untuk memperjelaskan doanya dalam bahasa Arab.

"Terima kasih Pontian, dia nak belajar (disambut gelak anggota dewan). Pertamanya, ia doa daripada Rasulullah (sambil membaca doa dalam bahasa Arab), yang kedua ialah hadis Rasulullah dalam bentuk doa yang menjelaskan kadang-kala kefakiran itu mendorong manusia menjadi kufur," kata Nik Muhammad Zawawi.

Bagaimanapun, Maszlee Malik yang sebelum ini pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh Universiti Islam Antarabangsa (UIA), meminta diberi laluan mencelah bagi memperbetulkan penjelasan Nik Muhammad Zawawi.

Katanya, hadis pertama adalah doa yang biasanya dibaca ketika tahiyat akhir solat yang 'tidak lengkap' kerana mungkin Nik Muhammad Zawawi terkejut apabila disergah Ahmad.

Dalam tenang, Muhammad Zawawi menjawab bahawa Ahmad membaca terjemahan yang digabungkan daripada dua hadis berbeza.

"Matan (lafaz) hadis tidak boleh ikut terjemahan, terjemahan yang kena ikut hadis," katanya sebagai membalas Maszlee yang meminta Ahmad membacakan semula terjemahan hadis dibacanya sebelum itu.

Pertikaian tidak berpanjangan sebelum Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata, "Pasir Puteh pakar hadis, yang ini pengkaji hadis (Simpang Renggam), jadi kita terima yang itu lah (Pasir puteh)," katanya

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 5:21pm
d