mutakhir

Banjir bawa rezeki

Oleh Hassan Omar

BANJIR yang melanda Lubok Cina, Alor Gajah sejak malam tadi membawa rezeki tambahan untuk peniaga santan yang mengambil kesempatan memasang jaring menangkap pelbagai jenis ikan.

Nor Azmi Abdul Kahar, 42, bijak menggunakan kesempatan air yang naik setinggi kira-kira 0.6 meter di Kampung Bangsal Atap, Lubok Cina untuk memerangkap ikan keli, haruan, baung, sebarau, puyu dan lampam sebagai rezeki tambahan.

Sejak 7 pagi, dia sudah meredah air untuk memasang jaring sepanjang kira-kira lapan meter di beberapa lokasi yang dijangka menjadi tempat ikan bermain, terutama berhampiran tebing Sungai Rembau.

"Setiap kali banjir, saya mengambil peluang memasang jaring untuk memerangkap pelbagai jenis ikan air tawar yang kalau dipasang jaring dalam sungai, agak sukar untuk menangkapnya.

"Bagaimapun, apabila saya memasang jaring di kawasan banjir, Alhamdulillah lebih mudah mengena ikan kerana air cetek dan ikan suka bermain di celah pokok kecil yang tenggelam," katanya ketika ditemui hari ini.

Nor Azmi berkata, hasil tangkapan pagi ini, dia mendapat lapan kilogram ikan termasuk empat kilogram ikan Baung yang dijual pada harga murah.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 6:05pm
d