mutakhir

Sorok 12 tong petrol dalam but kereta

Oleh Siti Rohana Idris

DUA lelaki ditahan ketika sedang mengisi petrol dalam tong untuk diseludup ke Thailand di stesen minyak di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Dalam serbuan 3 petang itu, didapati 12 tong mengandungi petrol ditemui dalam bonet belakang kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki terbabit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, terdahulu pasukannya membuat risikan dan mengesan kenderaan terbabit sedang mengisi petrol di stesen minyak itu.

"Selepas ditahan, pemeriksaan menyeluruh dibuat dan mengesan 360 liter petrol diisi dalam 12 tong di dalam but kereta itu.

"Kami percaya semua petrol itu akan dibawa ke pangkalan haram di tebing Sungai Golok untuk diseludup masuk dan dijual ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan media di Tumpat, hari ini.

Azanizam berkata, pemeriksaan lanjut menemui resit belian terakhir berjumlah RM425.

Menurutnya, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut manakala pemilik stesen minyak disiasat untuk tindakan seterusnya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 7:46pm
d