mutakhir

Sindiket pelacuran wanita Vietnam guna aplikasi MiChat tumpas

Oleh Hazri A Bakar

PILIH gambar, ambil swafoto di hadapan hotel sebelum pelanggan diberikan nombor bilik hotel bagi mendapatkan khidmat seks wanita warga asing.

Itu taktik yang dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di Susur 1, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru semalam.

Jika sebelum ini sindiket beroperasi menggunakan aplikasi WeChat, kini mereka beralih kepada aplikasi MiChat yang popular dalam kalangan pelanggan 'hidung belang'.

Sindiket dipercayai mengambil peluang kelonggaran diberikan kerajaan bagi operasi hotel dengan mengaktifkan khidmat seks membabitkan wanita warga asing.

Difahamkan pelanggan dikenakan bayaran RM220 bagi mendapatkan khidmat seks selama satu jam.

Sumber JIM Johor berkata, serbuan kira-kira jam 10 malam itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu.

Menurutnya, tujuh wanita Vietnam berusia 20 hingga 30-an ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas dan tiada dokumen perjalanan.

Operasi dua jam itu disertai 20 pegawai dan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 62 yang bekerja sebagai penjaga premis.

Semua wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang kerana tinggal lebih tempoh yang dibenarkan.

Penjaga premis warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) akta yang sama kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati).

Kesemua ditahan ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Taman Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 8:08pm
d