mutakhir

Covid-19: Hanya Sepang masih zon kuning

Oleh Norzamira Che Noh

SEPANG menjadi daerah tunggal yang berada dalam zon kuning Covid-19 di Selangor selepas Petaling memasuki zon hijau, kelmarin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook, daerah Sepang kini merekodkan 11 kes aktif membabitkan dua mukim iaitu Dengkil dengan satu kes, serta Labu dengan 10 kes.

Secara keseluruhan, daerah berkenaan merekodkan 77 kes jangkitan Covid-19.

Sementara itu, secara keseluruhan Petaling merekodkan 437 kes iaitu daerah kedua tertinggi selepas Hulu Langat.

Daerah berkenaan akhirnya memasuki zon hijau apabila tiada lagi kes aktif direkodkan sehingga Isnin.

Sehingga kini, lapan daerah di negeri ini merekodkan sifar dalam kes aktif iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Kuala Selangor.

Hanya satu kes direkodkan semalam membabitkan kes luar negara dan setakat ini Selangor merekodkan 2,093 kes, 1,886 kes sembuh, 11 kes aktif serta 24 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 8:58am
    d