mutakhir

1 sekolah tutup sementara di Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

HANYA sebuah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ditutup sementara dengan muridnya diarahkan meneruskan cuti mereka.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sekolah yang ditutup itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya di Muar membabitkan kira-kira 180 murid.

"SK Sungai Raya tidak boleh menerima murid seperti biasa berikutan kelas yang ada di sekolah itu dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sekali gus tidak mempunyai cukup ruang menampung kemasukan murid buat masa ini.

"Sehingga kini, 11 sekolah yang dijadikan PPS di empat daerah terjejas, yang membabitkan tiga sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan lapan SK.

"Namun hanya sebuah sekolah, SK Sungai Raya yang setakat ini diarahkan tutup sementara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pembukaan SK Bandar Baru Uda 2 di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari dan Guru Besar SK Bandar Baru Uda 2, Noorayu Jayus.

Jumlah mangsa banjir empat daerah di negeri ini semakin menurun kepada 739 orang yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga 8 pagi tadi.

Ia berbanding 765 mangsa daripada empat 197 keluarga terjejas,malam tadi.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 10:43am
d