mutakhir

JAWI perkasakan program tangani isu transgender

Oleh Amir Abd Hamid

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) beriltizam memperkasakan gerak kerja dan program sedia ada melalui penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menangani isu transgender.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, pemerkasaan menerusi penubuhan jawatankuasa itu berpandukan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa dengan mengutamakan pendekatan bimbingan dan tarbiah.

Beliau berkata, pihaknya terus komited untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah demi memartabatkan syiar Islam.

"Sejak 2010, Jawi sudah pun melaksanakan program penyantunan bersama komuniti transgender dengan menggunakan modul khusus yang dibangunkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Modul ini merangkumi elemen pengisian seperti kesedaran kerohanian, pendidikan kesihatan serta motivasi diri dan kerjaya.

"Program berkenaan akan terus diperkasakan dengan kerjasama pelbagai pihak dengan pendekatan yang lebih menyeluruh serta mengambil kira perkembangan dan cabaran semasa," katanya dihubungi Harian Metro.

Beliau memberikan reaksi berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad, Jumaat lalu di Facebook (FB) yang memberi 'lesen penuh' kepada penguat kuasa Jawi untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

Namun, kata Zulkifli, tindakan yang akan diambil itu tidak hanya membabitkan tangkapan semata-mata, sebaliknya yang lebih utama tarbiah.

Kenyataan anggota Dewan Negara berkenaan dibuat beberapa hari selepas media sosial panas dengan isu berkaitan Muhammad Sajad Kamaruzaman atau lebih popular sebagai Nur Sajat beraksi dengan bikini di Instagram usahawan

kosmetik itu.

Tindakan itu juga mengundang kemarahan pendakwah dan bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri al-Yahya baru-baru ini menggesa kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) bertegas memerangi isu berkenaan.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 11:26am
d