mutakhir

Akta Orang Papa 1977 dikaji semula

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling

AKTA Orang Papa 1977 akan dikaji semula untuk menangani isu gelandangan di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, selain itu sekretariat penyelarasan juga akan diaktifkan semula bagi mengatasi isu gelandangan dan pengemisan membabitkan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan.

Katanya, pelbagai pihak memberikan kerjasama yang baik dan membantu kementeriannya terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

"Semasa pelaksanaan PKP, kementerian terbabit dengan pengurusan gelandangan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dilantik sebagai ahli Task Force Gelandangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah Jawatankuasa Pengurusan Krisis yang ditubuhkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Seramai 1,283 gelandangan sudah diselamatkan dan ditempatkan di 23 pusat gelandangan sementara seluruh Malaysia," katanya ketika etika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS- Dungun) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, 50 peratus daripada jumlah gelandangan adalah daripada Kuala Lumpur, manakala Johor sebanyak 20 peratus dan Sarawak seramai 145 orang.

Katanya ada gelandangan yang dihantar pulang kepada keluarga bagi membolehkan mereka mendapatkan kemahiran dan berdikari.

Menjawab soalan tambahan Hannah Yeoh (DAP- Segambut), mengenai apakah kementeriannya sudah berbincang dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mengenai penempatan, beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri kerana membabitkan pelarian warga asing dan kanak-kanak.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 11:32am
d