mutakhir

'Mak pergi jua akhirnya'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

WARGA emas yang menderita kanser rahim tahap empat, Salmah Mat meninggal dunia di Kuala Kubu Bharu kira-kira 9.30 malam tadi.

Berita itu dimaklumkan anak saudaranya Mimi Suhaila Abd Rahman yang menjaga Allahyarhamah sejak kesihatannya semakin merosot tahun lalu.

Mimi Suhaila berkata, arwah sedang menjalani rawatan secara perubatan Islam hasil mendapat sumbangan orang ramai selepas kisahnya disiarkan Harian Metro baru-baru ini.

"Mak dah tak ada. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang simpati dengan keadaannya sebelum ini.

"Saya mohon dihalalkan segala bentuk bantuan yang diberikan dan doakan dia ditempatkan bersama golongan beriman," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ibu saudara yang dipanggil Mak itu baru mendapatkan rawatan berkenaan selama dua minggu dan keadaannya semakin baik.

"Tak tahu apa nak kata. Kami sudah berusaha, Allah SWT lebih sayangkan Mak. Terima kasih kepada semua, terima kasih juga Harian Metro siarkan kisah Mak," katanya yang turut memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Harian Metro pada 25 Jun lalu melaporkan, Salmah, 61, terlantar akibat kanser rahim tahap empat merayu sumbangan orang ramai untuk membiayai kos perubatannya kerana tiada sumber pendapatan.

Dia hanya hanya mampu terbaring kerana keadaan kesihatannya semakin merosot selepas disahkan menghidap penyakit itu sejak setahun lalu.

Penderitaan Salmah turut mendapat perhatian aktivis masyarakat Azman Kang Abdullah yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung keluarga.

Selain itu dengan bantuan orang ramai, keluarganya berjaya mengumpulkan dana untuk rawatannya termasuk pembiayaan keperluan harian.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 11:47am
d