mutakhir

Guru, pelajar patuh SOP

Oleh Syaherah Mustafa

Guru dan pelajar menunjukkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik, hari ini dan hari pertama berjalan lancar selepas sekolah terpaksa ditutup akibat pendemik Covid-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin berkata, hasil lawatannya di beberapa sekolah di Tanah Merah menunjukkan kerjasama baik semua pihak yang mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

Katanya, kesemua pelajar dan warga sekolah mengambil suhu badan dan menjaga penjarakan sosial malah dilihat bersemangat untuk kembali ke sekolah walaupun dalam normal baharu.

"Pihak sekolah juga dilihat mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan proses saringan berjalan dengan baik selain menunjukkan kerjasama baik dengan ibu bapa yang turut memainkan peranan penting dalam situasi ini.

"Selain itu, keadaan meja juga tersusun rapi mengikut jarak yang ditetapkan dan kebanyakan sekolah masih boleh mengekalkan jumlah pelajar yang ada pada sesuatu masa walaupun memerlukan ruang yang lebih luas.

"Setakat ini, semua sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi mengekang berlaku penularan wabak Covid-19 seterusnya sesi persekolahan boleh berjalan seperti biasa," katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian guru maut akibat jatuh daripada balkoni di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, hari ini.

Dr Mohd Radzi berkata, dia turut meluangkan masa melawat kelas pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang sudah tiga minggu memulakan sesi persekolahan, yang mana mereka dilihat dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu.

"Dalam keterujaan kita memulakan sesi persekolahan, saya berharap semua pihak tetap mengambil langkah berjaga-jaga kerana wabak Covid-19 ini ada di mana-mana sahaja.

"Hampir kesemua sekolah seluruh negara dibuka hari ini, kecuali di beberapa kawasan yang masih berisiko demi keselamatan semua pihak. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap semua memainkan peranan masing-masing untuk menjaga diri.

"Kerjasama baik dan kepatuhan pada SOP dapat menjamin keselamatan bersama sekali gus membolehkan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa, namun yang paling utama ialah supaya kita semua melawan wabak ini," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 12:08pm
d