mutakhir

Laut bergelora halang pencerobohan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LAUT bergelora sejak Mei hingga November ini berkemungkinan antara faktor kapal yang membawa pelarian Rohingya tidak masuk ke sempadan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, berdasarkan pemantauan dari udara dan laut mendapati tidak ada 'kelibat' kapal di persempadan negara.

"Namun kita percaya kemungkinan masih ada saki baki pelarian yang berselindung di laut dengan bantuan sindiket.

"Maklumat yang diterima dari Acheh, Indonesia juga tidak mengesahkan ia adalah kapal yang berselindung di Pulau Koh Adang,"katanya kepada Harian Metro.

Mohd Zubil berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket menyediakan kapal kecil untuk memindahkan pelarian sebelum mendarat di mana-mana kawasan.

"Maklumat di Acheh turut memberitahu terdapat satu lagi kapal namun tidaka dapat dipastikan dimana mereka berada.

"Bagi pihak APMM menerusi Op Benteng, kita meneruskan rondaan dan pemantuan pada setiap hari,"katanya.

Katanya, pihaknya akan memastikan tiada pencerobohan berlaku di perairan Malaysia.

"Ia bukan sahaja pencerobohan oleh pelarian malah mana-mana Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) termasuk dari Indonesia atau negara lain," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 12:54pm
d