mutakhir

2 lelaki ditahan memperlekehkan Hari Jawi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menahan lelaki yang memuat naik komen memperlekehkan hari Jumaat diumumkan sebagai 'Hari Jawi'.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan dilakukan di dua lokasi berbeza semalam dan hari ini.

"Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun itu ditahan di Tanjung Rambutan, Perak dan Butterworth Pulau Pinang.

"Mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, polis menerima satu laporan polis dibuat di Kluang, Johor berhubung komen netizen yang memperlekeh hari Jumaat diumumkan sebagai 'Hari Jawi'.

Pada 10 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini mengumumkan Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Susulan pengumuman itu, netizen memuat naik beberapa kenyataan menghina dan memperlekehkan usaha itu di laman sosial.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 1:39pm
d