mutakhir

Tarik penjualan halwa kundur - CAP

Oleh Zuhainy Zulkiffli

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) digesa supaya menarik semula penjualan halwa kundur di negara ini dengan segera berikutan dikesan mengandungi 'sulfur dioksida' melebihi had.

Gesaan itu dibuat susulan tindakan Singapura menarik semula halwa kundur dari Malaysia baru-baru ini, selepas dikesan mengandungi sulfur dioksida melebihi had maksimum yang ditetapkan dalam Peraturan Makanan Singapura.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, halwa kundur sering digunakan bagi membuat inti makanan tradisional Cina dan Melayu seperti kuih bulan, teh herba dan manisan pencuci mulut.

Menurutnya, berdasarkan Jadual Keenam (Peraturan 20) Akta Makanan 1983, kundur yang dibenarkan di pasaran mengandungi 2,000 bahagian persejuta (bps) sulfur dioksida, digunakan sebagai pengawet kerana ciri antimikrobnya.

"Sebagai pengawet, ia mengekalkan keadaan buah dan mencegahnya daripada membusuk namun sulfur dioksida boleh mencetuskan serangan dalam kalangan penghidap asma dengan gejala seperti nafas mengeluarkan bunyi dan sukar bernafas.

"Paras sulfur yang berlebihan dalam makanan juga boleh menimbulkan tindak balas alahan dalam individu yang hipersensitif dengan gejala seperti kegatalan, sakit perut, cirit-birit dan muntah," katanya di Georgetown hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, selain menarik semula halwa kundur di pasaran, ujian ke atasnya perlu dijalankan bagi mengesan kandungan sulfur dioksida .

Sementara itu, pengguna pula dinasihati supaya tidak memakan halwa kundur sehingga pihak berkuasa dapat memastikan bahawa ia selamat dimakan.

"Kerajaan juga perlu menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat mengapa isu itu tidak dikesan lebih awal oleh pihak berkuasa tempatan?

"Bukankah pelik setiap kali muncul perkara seumpamanya, pihak berkuasa dari negara lain yang akan mengetengahkannya kepada penduduk di Malaysia?," katanya lagi.

Berdasarkan rekod, ia bukan kali pertama makanan dari Malaysia ditarik semula di negara asing.

Pada 2019, penjualan botol air mineral ditarik semula oleh pihak berkuasa Singapura kerana didapati mengandungi pseudomonas aeruginosa iaitu bakteria umum yang terdapat dalam najis, tanah, air dan sisa kumbahan.

Salad 'iceberg lettuce' ditarik semula oleh pihak berkuasa Singapura pada 2018 selepas dikesan mengandungi paras racun makhluk perosak yang tinggi dalam sayuran yang diimport dari ladang Malaysia.

China juga pernah menolak buah-buahan dari Cameron Highlands pada 2017 akibat kehadiran organisme ubah suai genetik (LMO).

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 1:44pm
d