mutakhir

'Nak mabuk, jangan bawa kenderaan' [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling

"PESANAN saya, kalau nak mabuk, jangan bawa (kenderaan), kalau nak bawa (kenderaan) jangan minum (arak)," kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sambil memberikan gambaran hukuman berat menanti pemandu mabuk dan khayal sama ada disebabkan penggunaan dadah mahupun alkohol serta memandu secara melulu, antara hukuman yang dicadangkan termasuklah penggantungan lesen memandu sehingga 20 tahun.

Katanya, hukuman dicadangkan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 lebih tegas dan diasingkan mengikut kesalahan sama ada memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah mahupun secara melulu.

Menurutnya, pindaan membabitkan Seksyen 41 hingga 45, dengan hukuman penjara dicadangkan sebagai mandatori.

"Seksyen 44 kalau sekarang kesalahan memandu mabuk dan dadah, tiada perbezaan, tapi kita cadangkan supaya dibezakan hukumannya dan ia lebih berat lagi jika bawa maut.

"Kadar penjara maksimum yang sebelum ini 10 tahun akan ditingkatkan ke 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun jika kesalahan berulang.

"Kadar denda juga dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama, sementara kesalahan kedua RM150,000.

"Bagi tempoh gantung lesen juga dicadang dinaikkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, draf Rang Undang-Undang pindaan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 17 Julai sebelum dibawa ke Dewan Rakyat pada sesi ini.

Katanya, ia juga sudah dibawa ke Pejabat Peguam Negara dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Pindaan perlu dibuat serta-merta. Tak sampai 100 hari saya masih ingat pertama kali saya komen ialah pada 4 Mei ketika saya melawat sistem MRT apabila kita hendak buka sektor ekonomi.

"Sejak hari itu kita bertungkus lumus, dalam sebulan kementerian sudah sediakan, kemudian kita melalui proses perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan juga dengan semua agensi terbabit khususnya polis dan kita sudah ada persetujuan secara dasar.

"Pada minggu ini draf undang-undang yang sudah disemak oleh Jabatan Peguam Negara akan dihantar atau dikemukakan kepada kabinet untuk diluluskan," katanya.

Beliau berkata, perkataan 'boleh juga dipenjara' yang diguna pakai sebelum ini akan digantikan dengan 'dan', bermaksud hukuman mandatori akan dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah.

Katanya penggunaan 35 mikrogram dalam 100 mililiter nafas akan diturunkan kepada 22 mikrogram, iaitu lebih tinggi daripada ketika ini.

"Kedua kandungan alkohol dalam darah 80 miligram bagi 100 mililiter darah. Oleh kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenakan syarat yang lebih ketat, maka kita turunkan kepada 50 miligram.

"Ketiga, kandungan urin, kalau kita lihat standard yang kita gunakan 107 miligram bagi setiap 100 mililiter kencing, kali ini diturunkan kepada 67, bermaksud ia diturunkan kepada standard yang lebih tinggi selaras WHO," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:01pm
d