mutakhir

Dua sekolah rendah ditutup kerana banjir

Oleh Shahrinnahar Latib

DUA sekolah rendah di Pahang tidak dapat dibuka hari ini berikutan kejadian bencana banjir berlaku di daerah Lipis.

Pengarah Pendidikan Pahang, Zaimi Abu Bakar berkata, dua sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah dan SK Aur Gading yang membabitkan 123 murid dan 22 guru.

"SK Chegar Perah tidak dibuka kerana dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala SK Aur Gading pula tidak dibuka kerana jalan ke sekolah itu dinaiki air.

"Jumlah murid hadir ke sekolah rendah hari ini adalah 44,038 orang manakala 89,600 pelajar sekolah menengah," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke SK Teruntum di Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu.

Beliau berkata, terdapat 740 sekolah menengah dan rendah di Pahang dan semuanya berjalan lancar serta mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berdasarkan portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 11 pagi hari ini, 400 mangsa daripada 104 keluarga dipindahkan ke dua PSS di Lipis iaitu SK Chegar Perah dan SK Balora Aur Gading.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:13pm
d