mutakhir

Semangat ke sekolah walaupun menghidap tibi tulang [METROTV]

Oleh Yun Mikail

WALAUPUN menggunakan tongkat untuk ke sekolah namun ia bukan halangan buat seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya yang menghidap penyakit tibi tulang hadir ke sesi persekolahan baharu, hari ini.

Jarinah Rajis, 12, bangun seawal jam 5 pagi sebelum menaiki bot tambang untuk ke sekolah.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia 10 tahun.

Bagaimanapun, ketika itu, dia masih boleh berjalan seperti biasa namun sedikit tempang.

"Bagaimanapun, awal tahun lalu, saya mula sakit pinggang dan doktor memaklumkan yang kuman dalam badan mula memberi kesan kepada sendi kaki kanan.

"Doktor mengatakan yang saya perlu menggunakan tongkat bagi mengurangkan kesakitan ketika berjalan," katanya.

Bagaimanapun, Jarinah mengatakan yang dia tidak pernah menganggap kekurangan itu sebagai perkara yang boleh mematahkan semangat untuk berjaya dalam pelajaran serta mengejar impiannya untuk menjadi pegawai polis.

Bagi murid tahun lima sekolah sama, Nurshazlin Abdullah, 11, dia teruja dapat memulakan hari pertama persekolahan selepas bercuti panjang berikutan penularan Covid-19.

"Bapa saudara hantar saya dari rumah di Likas ke jeti berhampiran Pasar Besar Kota Kinabalu sebelum saya menaiki bot tambang ke sekolah.

"Saya rindukan rakan dan guru selain suasana belajar," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Gaya Abdul Rahman Zainon memaklumkan yang beliau puas hati dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di sekolah berkenaan

"Semua SOP dipatuhi dan kami akan perbaiki kekurangan yang ada dari semasa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:26pm
d