mutakhir

Cekal jual kupang seawal 5 pagi

Oleh Nazri Abu Bakar

"BUKAN mudah menjadi penjual kupang segar berikutan semua kupang dijual perlu dihabiskan dalam tempoh 24 jam atau hidupan laut itu menjadi busuk," kata penjaja, Kamarudin Ali, 62.

Dia yang sudah berniaga kupang 11 tahun lalu menjadikan lokasi di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Cheng di sini, untuk menjual kupang setiap hari.

"Saya tidak pernah bercuti kecuali jika ada kematian atau kenduri kahwin saudara terdekat.

"Biasanya saya mula menjual kupang laut berkenaan seawal jam 5 pagi di tepi jalan itu sebelum perniagaan berakhir kira-kira 2 petang.

"Ramai yang tidak tahu, bahawa saya perlu menghabiskan kupang jualan pada hari sama berikutan ia tidak boleh disimpan melebihi sehari. Jika tidak ia akan busuk dan tidak boleh dimakan," katanya.

Justeru jika kupang jualan tidak habis, dia akan mengagihkan kupang itu kepada saudara mara atau orang ramai terutama jika jualan kurang sambutan.

Dia memberitahu mendapat bekalan kupang segar daripada pembekal kupang peliharaan di Johor.

"Biasanya saya membeli seguni besar kupang pada harga kira-kira RM250 yang dihantar ke gerai saya sebelum jam 5 pagi setiap hari.

"Walaupun ada ketikanya sebahagian kupang dalam guni berkenaan rosak namun itulah risiko yang perlu dilalui. Jika semua kupang berjaya dijual, saya akan memperolehi untung antara RM50 hingga ke RM70," katanya.

Dia berkata, bekerja sebagai peniaga kupang memerlukan dia tabah dan bersedia berdepan untung dan rugi.

Kamarudin yang masih bujang berkata, masanya sebelum ini tertumpu menjaga kedua ibu bapa yang sakit menyebabkan dia tiada masa memikirkan perkahwinan.

Namun dia tetap bersyukur dapat menjaga insan tersayang berkenaan sehingga mereka meninggal dunia kira-kira 9 tahun lalu.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:30pm
d