mutakhir

Gangguan bekalan air dijangka berlaku ketika Aidiladha

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SELURUH daerah di Terengganu dijangka mengalami gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan Aidiladha, hujung bulan ini.

Gangguan bekalan air itu berlaku susulan jangkaan kepulangan ramai perantau ke kampung masing-masing, sekali gus menyebabkan jumlah penggunaan air meningkat secara serentak.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), Atemin Sulong berkata, pihaknya berharap orang ramai membuat persiapan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan itu nanti.

"Pada perayaan Aidilfitri lalu, ramai perantau tidak dapat pulang ke kampung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi dijangka semua perantau pulang ke kampung pada Aidiladha ini.

"Justeru akan berlaku peningkatan penggunaan air di semua daerah, sekali gus menyebabkan tekanan air rendah di kawasan tertentu seterusnya berlaku gangguan bekalan air.

"Beberapa kawasan kritikal di Kuala Terengganu, Besut, Setiu dan Marang sudah dikenal pasti dan Satu sudah membuat persediaan awal sejak sebulan lalu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan seberapa banyak lori tangki di kawasan mengalami gangguan bekalan air selain menempatkan tangki statik lebih awal di kawasan terbabit.

Menurutnya, Satu akan mengeluarkan hebahan gangguan bekalan air itu melalui satu kenyataan rasmi lebih awal kepada semua pengguna.

Orang ramai yang menghadapi masalah bekalan air boleh menghubungi Pusat Aduan Ssatu Careline di talian 1-300-88-2111.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:35pm
d