mutakhir

Pengusiran PATI di Sabah terus berjalan

Oleh Abdul Rahemang

TAWAU: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka di Wilayah Nunukun, 9 pagi hari ini.

Program pengusiran dan penghantaran pulang mereka diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi kerajaan lain.

Pengarah MKN Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, ia adalah pengusiran berterusan siri ke-21 melalui laut membabitkan warga Indonesia dan Filipina.

Jumlah keseluruhan yang diusir sepanjang tahun ini ialah 4,845 orang.

"Seperti siri pengusiran sebelum ini, kesemuanya sudah menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mengelak risiko jangkitan atau penularan virus dalam kalangan mereka.

"Komitmen tinggi semua pihak, termasuk kerajaan Indonesia melalui ketua perwakilan republik itu di sini, membolehkan setiap siri pengusiran berjalan lancar," katanya pada kenyataan.

Menurut Sharifah Sitti Saleha, urusan pengusiran berjalan lancar hasil kerjasama erat kedua-dua negara.

Pada masa sama, Sharifah Sitti Saleha berkata, kesungguhan Indonesia yang menerima kepulangan warganya walaupun republik itu masih mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi amat dihargai.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 2:58pm
d