mutakhir

Tak serik-serik

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

WALAUPUN berulang kali diberi amaran warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun masih yang keras kepala sanggup berdepan risiko disita.

Akibatnya, dua kedai runcit dan sebuah kedai mencuci kenderaan dimiliki warga asing di Jalan Madrasah, Taman Sri Rampai dan Jalan Budiman di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur digempur penguat kuasa, hari ini.

Kedai runcit berkenaan diusahakan warga asing Indonesia dan pelarian Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) disita.

DBKL dalam kenyataan media memaklumkan, risikan mendapati kedai yang digempur diusahakan warga asing tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, walaupun amaran agar perniagaan dihentikan namun ada di antara mereka yang masih berdegil dan tidak menghormati undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Gerai berkenaan disita dan diarahkan tutup serta merta kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya hari ini.

Katanya, DBKL akan terus menjalankan operasi pemantauan dan penguat kuasaan di seluruh kawasan ibu kota untuk memastikan tiada warga asing yang masih berdegil dengan terus menjalankan perniagaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perniagaan asing tanpa kebenaran boleh menyalurkan terus kepada Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800 88 3255 atau Pejabat Cawangan DBKL berhampiran.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 3:03pm
d