mutakhir

Tak mengaku miliki wang palsu

Oleh Mohd Amin Jalil

SEORANG peniaga runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini , atas tuduhan memiliki tiga keping wang palsu RM100 pada 9 Julai lalu.

Tertuduh, Teng Ban Seng, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki wang berkenaan yang tidak mempunyai nombor siri dengan niat menggunakannya di rumah bernombor 1964, Taman Seremban Jaya,Seremban, di sini, pada 9 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya Nur Atiqah Sapari dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu dikenakan jaminan yang rendah atas alasan pendapatannya terjejas susulan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19.

Dia juga mendakwa perlu menanggung seorang isteri dan seorang anak kecil selain dua orang adik termasuk seorang yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Tertuduh juga akan meminta pertolongan daripada adik beradiknya untuk mendapatkan wang jaminan selain bercadang melantik peguam.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 3:04pm
d