mutakhir

Lelaki herdik, pukul ibu positif dadah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI yang tular memukul dan mengherdik ibunya didapati positif dadah selain mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Mayang, Kelana Jaya.

Menurutnya, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua kes dadah dan satu rekod sakit mental," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 30 saat menunjukkan seorang lelaki mengherdik wanita yang dipercayai ibunya.

Lelaki yang mengherdik menggunakan bahasa cina itu turut membaling tisu kepada wanita berkenaan sebelum wanita itu bertindak untuk keluar dari rumah.

Warganet meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan yang bersikap tidak berperikemanusiaan terhadap warga emas.

Berita berkaitan

Lelaki herdik, pukul ibu ditahan

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 6:45pm
d