mutakhir

MAQIS rampas durian dan petai

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak hari ini berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk hasil pertanian bernilai RM2,565 dari Thailand.

Hasil pertanian berkenaan terdiri daripada 450 kilogram (kg) durian dan 480 kg petai yang cuba dibawa masuk melalui pintu masuk Kompleks ICQS di Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

Pengarah MAQIS Perak Rozita Superman berkata, hasil pertanian berkenaan cuba dibawa masuk dengan empat buah lori, di mana ketika ditahan dan dibuat pemeriksaan didapati pihak terbabit tidak mempunyai permit import seperti dikehendaki MAQIS.

"Penahanan dibuat kerana pihak berkenaan gagal mengemukakan maklumat yang disyaratkan MAQIS di bawah Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Kegagalan memenuhi syarat yang ditetapkan itu, jika sabit kesalahan boleh menyebabkan pihak berkenaan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 15 (2) akta sama" katanya.

Rozita berkata, MAQIS membuat pemantauan bagi memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma dan sebagainya yang masuk ke Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 6:57pm
d