mutakhir

Penjawat awam Pahang terima bantuan khas RM500

Oleh Mohd Rafi Mamat

KERAJAAN Pahang mengumumkan pembayaran bantuan khas sebanyak RM500 kepada 8,000 penjawat awam di negeri itu, esok.

Penerima bantuan khas itu membabitkan penjawat awam gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ke bawah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembayaran akan dibuat esok membabitkan peruntukan RM4 juta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, hari ini.

"Pembayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam negeri ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2020 berkaitan Bantuan Khas Kewangan 2020 yang menjadi sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, 27 Mac lalu.

"Saya meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan-Badan Berkanun Negeri untuk meneladani serta membuat pembayaran sama," katanya melalui satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, diharapkan bantuan berkenaan dapat membantu meringankan beban penjawat awam dalam membuat persediaan meraikan sambutan Aidiladha hujung bulan ini.

Sementara itu, penjawat awam ditemui bersyukur dengan keputusan kerajaan negeri yang menyediakan bantuan khas kewangan RM500 itu.

Bagi Rasli Latif, 52, bantuan berkenaan tanda prihatin kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Rosdy yang sentiasa menjaga kebajikan kakitangan awam.

"Bantuan berkenaan dapat digunakan untuk menyambut Aidiladha hujung bulan ini dan bagi mereka mempunyai keluarga besar, pastinya dapat meringankan beban.

"Bantuan diterima diharap dapat meningkatkan semangat bekerja dalam kalangan kakitangan awam," katanya yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 7:38pm
d