mutakhir

Tak sempat jual 1,279 rotan

Oleh Mohd Rafi Mamat

DUA pemuda Orang Asli ditahan bersama 1,279 rotan jenis Manau dan Matang yang dipindah tanpa permit di Jalan Kuala Tahan-Jerantut dekat Sungai Retang, Jerantut, malam kelmarin.

Anggota Unit Penguat Kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut yang membuat rondaan di laluan terbabit terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan lori satu tan Daihatsu dipandu pemuda Orang Asli yang membawa muatan rotan tanpa pas pemindah dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pegawai PHD Jerantut, Mohd Zarin Ramlan berkata, dua pemuda Orang Asli berusia 34 dan 36 tahun itu mendakwa mereka mengambil rotan terbabit di Hutan Simpan Kekal Tekai Tembeling untuk dihantar ke kilang memproses rotan terletak di Batu 58.

Menurutnya, rotan Manau dan Matang pelbagai saiz mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha perabot selepas melalui beberapa proses seperti merebus dan menjemur.

"Pemuda Orang Asli terbabit yang memberi kerjasama sepanjang siasatan dibebaskan dengan jaminan polis dan kami berusaha mengesan lokasi mereka mengambil rotan berkenaan.

"Bagi kesalahan memindahkan hasil hutan tanpa permit atau pas memindah, mereka boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya ditemui, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih membuat penilaian semasa harga rotan dirampas sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

Menurutnya, rampasan rotan dipindahkan tanpa pas memindah itu adalah kes pertama tahun ini dan ia kesalahan serius menyebabkan kerugian hasil cukai kepada kerajaan negeri.

"Sikap mengambil mudah terhadap undang-undang sedia ada mendorong pihak terbabit melakukan kesalahan merugikan mereka sendiri.

"Kami sentiasa berusaha membantu individu yang ingin mendapatkan pas memindah hasil hutan terutama rotan dan prosesnya tidak terlalu sukar dan membebankan.

"Mereka perlu berhubung dengan PHD Jerantut atau JPNP bagi mendapatkan maklumat dan tidak menggunakan khidmat orang tengah," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 8:07pm
d