mutakhir

'Usah terburu-buru pulang ke rumah'

Oleh Roselan Ab Malek

MANGSA banjir di Kampung Chegar Perah dan Aur Gading, Lipis dinasihatkan agar berhati-hati dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, mereka dinasihatkan tidak cepat pulang ke rumah kerana keadaan cuaca masih tidak menentu ketika ini.

"Banjir berpunca daripada limpahan air Sungai Berhamah dan Sungai Merapoh ke Sungai Tanum ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

"Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 401 orang setelah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kedua dibuka berikutan banjir yang semakin teruk di daerah ini," katanya.

PPS kedua dibuka di Dewan Balora Aur Gading, tengah malam tadi selepas Kampung Aur Gading yang berdekatan dengan Kampung Chegar Perah ditenggelami air.

Beliau mengunjungi kedua-dua PPS itu dan menyampaikan bantuan kepada mangsa termasuk 46 warga emas dan dua orang kurang upaya (OKU).

Semua mangsa turut diberikan bantuan makanan basah, selimut, bantal dan keperluan lain.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis, Kapten Mohd Nor AzharYusof berkata, seramai 133 mangsa daripada 38 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Balora Aur Gading secara berperingkat berikutan hujan berterusan.

"Air bertambah di Sungai Tenum dan melimpah ke kampung berhampiran.

"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Chegar Perah yang dibuka pada hari Isnin lalu mempunyai 268 orang daripada 68 keluarga.

"Beberapa penduduk pulang ke rumah untuk membersihkan kediaman mereka hari ini kerana air makin surut, tetapi kita harus menunggu keadaan pulih sebelum membenarkan mereka pulang sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 8:35pm
d