mutakhir

Tidak berniat menipu

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENIAGA roti canai mengakui dia tiada niat menipu apabila memuat naik gambarnya yang disunting seiras pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan sehingga menyebabkan ramai mahu berkenalan.

Syhaiful Afanddi Ismail, 44, berkata, dia sekadar cuba aplikasi suntingan wajah sebelum memuat naik di Facebook (FB).

"Sejak semalam FB saya menerima ribuan 'friend request' dari seluruh negara selepas wajah seiras Shah Rukh Khan tular di laman sosial.

"Niat saya hanya untuk suka-suka namun tidak sangka tular di laman sosial dan dikongsi ramai," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia yang berasal dari Temerloh, Pahang itu bagaimanapun terbuka dengan komen yang diterima daripada warganet.

Katanya, jika dilihat dari sudut positif penularan gambar itu juga membantu dia mempromosikan Masjid Temerloh Jaya yang sering dikongsinya.

"Saya ahli jawatankuasa media dan publisiti masjid, jadi secara tidak langsung penularan ini membantu orang ramai mengenali masjid berkenaan.

"Hebat kuasa tular ini sehingga FB masjid berkenaan juga menerima 'like' yang banyak sejak semalam," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 11:15pm
d