mutakhir

MTUC, SEGi kerja sama bantu penganggur

Oleh Redzuan Muharam

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan SEGi Group of Colleges (SGC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi peningkatan kemahiran, latihan tambahan dan perkhidmatan sokongan kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19 selain graduan yang sedang mencari kerja.

Perjanjian ini membolehkan MTUC menyenarai pendek dan membantu individu terjejas mendapatkan latihan kemahiran insaniah atau teknikal, pensijilan profesional atau perkhidmatan kaunseling berdasarkan keperluan individu.

Individu mempunyai anak yang mahu menyambung pengajiandi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula diberi pilihan untuk meneroka peluang pendidikan fleksibel di SGC.

SGC akan mengenal pasti program yang sesuai, termasuk latihan kemahiran insaniah dan kursus profesional jangka pendek untuk meningkatkan kebolehkerjaan dan kebolehpasaran individu terbabit.

lndividu yang disyorkan MTUC boleh menghantar resume untuk dikongsi ke rangkaian professional SEGi termasuk rakan korporat dan alumni.

Pengarah SEGi International Bhd, Datuk Seri Dr Mohamed Azahari Kamil berkata, kerjasama itu adalah peluang bagi SGC untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan menyediakan penyelesaian alternatif untuk rakyat Malaysia di samping membantu menangani cabaran pengangguran yang tinggi berikutan pandemik Covid-19.

"SEGi mempunyai hubungan baik dengan rakan korporat daripada pelbagai industri malah kampus Subang Jaya kami sahaja sudah memeterai perjanjian dengan 25 rakan korporat baru-baru ini.

"Kerjasama itu berjaya menempatkan lebih 200 pelajar untuk latihan industri, kerja separuh masa danpenempatan graduan walaupun negara masih dilanda wabak Covid-19.

"Kami turut bekerjasama dengan ahli alumni SEGi yang kini berstatus usahawan berjaya atau berada di posisi tinggi dalam bidang masing-masing. Melalui inisiatif ini, SGC boleh menghantar profil dan resume berpotensi kepada rangkaian mereka untuk meluaskan peluang pekerjaan bagi mereka yang terjejas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor dan Mohamed Azahari dengan disaksikan oleh Setiausaha Agung MTUC, J Solomon serta Pengarah Eksekutif SEGi Holdings Sdn Bhd, Dr. Lisa Tan.

Menurut Mohamed Azahari, SGC turut menganjurkan Program 'Crossover' untuk memberikan khidmat bantuan perkembangan kerjaya dan sokongan penempatan pekerjaan.

Katanya, CROSS bermaksud Penilaian Kerjaya (Career Assessment), Penulisan Resume (Resume Writing), Kewujudan dalam Talian (Online Presence), Teknik Pemasaran Diri (Selling Yourself), dan Peningkatan Kemahiran (Skills Enhancement).

"lndividu yang mendaftar diberikan latihan kemahiran, latihan penempatan dan latihan pasca penempatan dengan bantuan bakal majikan.

"Ini dapat membantu majikan menjimatkan kos pengambilan dan latihan serta mencari calon pekerja yang sesuai untuk organisasi mereka.

"Harapan saya supaya hubungan SEGi dan MTUC dapat memberi inspirasi kepada semua pihak dan melengkapi ikhtiar #kitajagakita," katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, kerjasama itu berupaya memberikan jalan penyelesaian alternatif bagi masalah pengangguran yang dihadapi oleh sebilangan besar rakyat Malaysia pada masa kini.

"Sebagai kesatuan kebangsaan buruh negara yang mewakili 15 juta pekerja, kami sering menerima laporan pemberhentian pekerja dan penamatan kerja yang tidak adil. Ada juga yang terpaksa menerima pemotongan gaji yang besar sehingga menyukarkan lagi keadaan kewangan diri dan keluarga."

"MoU yang dimeterai hari ini akan menyediakan kerangka bagi mereka yang kehilangan kerja dan golongan belia atau graduan baru untuk memperbaiki kemahiran dan pengetahuan bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran masing-masing.

"Kami yakin bahawa mereka yang mendaftar untuk program ini mempunyai peluang cerah dalam mengubah kehidupan mereka," katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 10:49am
d