mutakhir

Jenazah ADUN Slim selamat dikebumi [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

JENAZAH Ahli Dewan Undangan (ADUN) Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Sungai Behrang di Slim River pagi hari ini.

Allahyarham Mohd Khusairi dikebumikan pada 9.20 pagi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Ar- Rahmaniah FELDA Sungai Behrang yang diimamkan oleh anak sulung arwah, Mohd Amirul Khalil Mohd Khusairi pada 8.30 pagi.

Dianggarkan seramai lebih 1,000 orang ramai termasuk pemimpin negeri wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) hadir untuk solat jenazah itu.

Antara yang hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, pada 4.15 petang semalam kerana mengalami serangan jantung.

Allahyarham dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa dari Hospital Bentong, Pahang ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Slim River malam semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.

Mohd Khusairi dipilih menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada 2004 dan berjaya mengekalkan kerusi berkenaan sehingga kini.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 2015.

Berita berkaitan

'Bila dengar dia menangis, saya tahu abang sudah tiada'

PM ucap takziah atas pemergian Khusairi

ADUN Slim meninggal dunia

Jenazah ADUN Slim selamat dikebumi

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 11:07am
d