mutakhir

SPR sedia hadapi kemungkinan PRU15 [METROTV]

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada bila-bila masa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, persediaan ini merangkumi perancangan yang menyeluruh meliputi aspek seperti belanjawan pilihan raya, peralatan dan logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

"Ini adalah penting bagi memastikan pengendalian perjalanan pilihan raya itu lancar dan sempurna terutamanya dalam tempoh pasca-Covid-19," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan SPR bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU15 dan perkembangan cadangan mengaplikasikan kaedah pengundian elektronik (e-undi) sebagai alternatif kepada kaedah konvensional dalam tempoh pasca-Covid-19.

Takiyuddin berkata, SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan di daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi dan mengemas kini daftar pemilih dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 11:39am
d