mutakhir

Durian Tugu sediakan gred terbaik

Oleh Rosyahaida Abdullah

SEKURANG-KURANGNYA 10 jenis durian tempatan termasuk keluaran usahawan B40 di seluruh negara kini tersedia di Restoran Durian Tugu, Kuala Lumpur yang menawarkan durian gred terbaik buat warga kota.

Bertempat di hadapan lokasi bersejarah Tugu Negara, restoran berkenaan dirasmikan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof semalam.

Menurut Mohd Redzuan, perasmian itu adalah simbolik kepada usaha kerajaan selama ini dalam membuka ruang dan peluang buat rakyat mengembangkan segala potensi keusahawanan yang wujud termasuk bidang berasaskan durian.

"Saya kira Durian Tugu adalah contoh golongan asnaf disediakan ruang begini bagi membolehkan mereka menjana lebih pendapatan apa lagi pada pasca PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Dengan lokasinya betul-betul di hadapan Tugu Negara, saya fikir ia akan mengubah standard durian itu sendiri kerana jika dahulunya orang jual durian di tepi jalan, kini durian sudah diterima di kebanyakan negara terutamanya China.

"Ini kawasan pelancongan, jadi jika ramai pengunjung datang ke sini, ini menjadi memberi manfaat sekali gus mewujudkan satu rantaian pembekalan yang baik untuk usahawan tempatan termasuk kepada golongan B40," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada Durian Tugu dalam mempromosikan agro-pelancongan berasaskan durian.

"Saya kira ini adalah kesinambungan kepada portfolio saya dulu (Menteri Pembangunan Usahawan), kita turun ke kampung dan jika ada lambakan, kita pastikan keluaran itu boleh dibawa ke sini antara supaya dapat bantu mereka (pengusaha) menstabilkan harga.

"Saya gembira melihat hasilnya dan pastinya banyak lagi hasil yang kita akan lihat selepas ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Syarikat Durian Tugu Sdn Bhd Datuk Mokhtarud-din Husain berkata, buat masa ini restoran itu mengambil bekalan durian dari empat negeri iaitu Pahang, Perak, Johor dan Kelantan.

"Durian Tugu sudah beroperasi sejak awal tahun lagi dan kami cuba mengetengahkan durian premium yang dinikmati dalam suasana hutan tropika di lokasi bersejarah iaitu Tugu Negara.

"Selain buah durian itu sendiri yang boleh dianggap premium, kita sediakan juga aneka makanan berasaskan durian serta makanan lain buat pelanggan," katanya.

Majlis itu turut menyaksikan Mohd Redzuan menerima sejumlah 6,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai lebih RM190,000 bagi pihak kerajaan daripada Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 11:44am
d