mutakhir

Seludup PATI, pegawai polis ditahan

Oleh Mohd Roji Kawi

PEGAWAI polis ditahan selepas disyaki bersekongkol menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Serian pada minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, pegawai Cawangan Khas berusia 45 tahun yang bertugas di Serian itu ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika dia cuba membawa masuk dua PATI dari Indonesia pada 7 Julai.

"Kes itu masih dalam siasatan lanjut JIM dan kami belum menerima butiran lengkap mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penyematan Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Sarawak, Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM Tahun 2019 di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching hari ini.

Aidi berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan atau melindungi PATI.

"Pemantauan rapi dijalankan terhadap semua pegawai dan anggota khususnya yang bertugas berdekatan sempadan untuk mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti itu," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai penahanan pegawai di Tebedu itu.

Beliau berkata, pihaknya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada Op Benteng yang laksanakan untuk mengekang kemasukan PATI ke negeri itu.

"Pasukan Gerakan Am (PGA) digerakkan sepenuhnya bersama agensi penguat kuasa lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menangani pencerobohan dan penyeludupan PATI," katanya.

Sementara itu, Aidi berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung penyebaran berita palsu mengenai Covid-19 yang boleh mencetuskan panik kalangan masyarakat.

"Siasatan sedang dijalankan berhubung penyebaran berita palsu yang mendakwa Pasar Stutong di Kuching tidak selamat dikunjungi kerana terdapat kes positif Covid-19 di situ.

"Kita tidak mahu penyebaran berita palsu seperti itu akan mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Pada majlis berkenaan, beliau menyemat pangkat kepada pegawai kanan dengan seorang daripadanya adalah Senior Asisten Komisioner, tiga Asisten Komisioner, empat Superintendan dan 20 Deputi Superintendan.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 11:56am
d