mutakhir

Elak keracunan makanan di sekolah

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

ASPEK kebersihan makanan di kantin serta dapur asrama sekolah menjadi perkara utama yang diberikan tumpuan susulan pembukaan sekolah yang bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, aspek kebersihan perlu diberi tumpuan.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan atau penyakit bawaan makanan yang kebiasaanya terjadi sewaktu awal sesi persekolahan bermula.

"Tahun ini terdapat dua laporan kes keracunan makanan di Perak iaitu sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu berbanding lapan kes tahun lalu serta 14 kes pada 2018.

"Kes keracunan makanan biasanya berlaku sejurus sesi persekolahan bermula selepas bercuti panjang termasuk cuti penggal.

"Untuk itu penguatkuasaan berkenaaan kebersihan dan keselamatan makanan dalam kalangan pengusaha kantin sekolah juga mesti menjadi tumpuan memandangkan sesi persekolahan tergedala hampir empat bulan akibat PKP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena operasi pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Bukit Gantang, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Dalam perkembangan berkaitan, Ding berkata, sebanyak 138 kantin serta dapur asrama sekolah di seluruh Perak sudah diperiksa sebelum PKP fasa 1 bermula dengan sasaran keseluruhan 1,118 sekolah yang terdapat di Perak akan diperiksa sehingga hujung tahun ini.

Katanya, aktiviti pemeriksaan keselamatan makanan di sekolah akan diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan dua pusingan dijalankan setiap tahun seperti mana kebiasaan.

"Ia bagi mendidik pengusaha kantin dan pengendali makanan yang terbabit supaya prihatin mengenai aspek kebersihan makanan.

"Selain itu ia bertujuan memastikan makanan tidak terdedah kepada pencemaran termasuk pencemaran silang, selain dikendalikan dengan bersih serta selamat.

"Kita tidak mahu pengabaian terhadap perkara ini menyebabkan kes keracunan makanan berulang terutamanya di saat pandemik Covid-19 masih belum reda," katanya.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan adalah berdasarkan Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985, dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, kepada mereka yang didapati menyalahi peraturan dan arahan yang ditetapkan.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 5:38pm
d