mutakhir

Sepakat gesa PBB mengusir Israel [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling

AHLI Parlimen Malaysia bersepakat menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengusir Israel daripada perhimpunan dan semua agensi badan dunia berkenaan.

Ia kerana kegagalan zionis itu memenuhi kewajipan sebagai anggota PBB dalam isu pengilhakan oleh mereka.

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata, dalam perbahasan di dalam kamar khas hari ini, ahli parlimen juga akan membawa mesej kesedaran di kawasan parlimen masing-masing berkaitan isu di Palestin.

"Kita juga meminta ahli parlimen memanfaatkan jaringan masing-masing di semua peringkat, dalam negara, antarabangsa dan serantau sebagai bantahan terhadap pelan pengilhakan Israel.

"Kita juga memohon kerajaan mengiktiraf dan menyokong, membantu usaha dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan tempatan berkaitan bantahan Israel sepetti dilakukan oleh MyCare, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), MyAqsa dan lain-lain," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Hadir sama beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang antaranya ahli parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, ahli parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan ahli parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Menurutnya, wakil kerajaan iaitu Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaffar memberi maklum balas yang baik dan menyatakan konsistensi Malaysia dalam isu Palestin.

Katanya, ia termasuk dasar luar Malaysia yang kukuh selaras dan mengutuk sekeras-kerasnya rancangan pengilhakan terbabit.

"Kita juga dimaklumkan kerajaan turut memberikan sokongan kepada gerakan NGO yang selama ini membawa mesej perjuangan untuk Palestin," katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 6:46pm
d