mutakhir

3 tukang urut 'import' ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BAYAR RM200 untuk satu jam. Itu harga khidmat seks ditawarkan sindiket pelacuran warga asing yang menggunakan aplikasi WeChat untuk mempromosikan kegiatan mereka.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah pusat urut di Kota Damansara, Petaling Jaya dalam Operasi Noda (Op Noda), pada 8.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 41 tahun yang juga penjaga premis serta tiga wanita warga asing berusia 27 hingga 32 tahun disyaki pekerja di premis berkenaan.

"Kami turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pelacuran seperti tiga tuala, tiga botol minyak urut, 10 kondom, jadual kerja dan wang tunai berjumlah RM216.

"Siasatan awal mendapati premis itu dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran kira-kira dua tahun lalu.

"Bagaimanapun, kegiatan itu dihentikan seketika akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum aktiviti terbabit aktif semula pada awal Mei lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan aplikasi WeChat sebagai platform untuk pelanggan membuat tempahan pada harga RM200 bagi khidmat seks untuk tempoh satu jam.

Katanya, semakan mendapati penjaga premis berkenaan mempunyai tiga rekod kesalahan imigresen membabitkan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

"Semua suspek warga asing direman 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

"Penjaga premis terbabit turut didapati gagal menunjukkan lesen pusat urut yang sah direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 6:50pm
d