mutakhir

113 rakyat dari Oman selamat pulang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 113 rakyat Malaysia dari Oman selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, mereka tiba di KLIA jam 12.55 tengah malam menerusi penerbangan sewaan khas Malindo Air.

Menurutnya, kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia itu termasuk 54 individu yang menyuarakan permasalahan mereka menerusi media sosial kerana kehilangan punca pendapatan selepas hampir empat bulan terkandas akibat penangguhan operasi penerbangan di negara itu.

"Kepulangan mereka dimudahcara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman dengan kos pembiayaan tiket ditanggung sepenuhnya secara persendirian oleh penumpang.

"Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kesultanan Oman yang membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia ke tanah air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 7:28pm
d