mutakhir

Padah simpan barang kawalan melebihi had

Oleh Abdul Rahemang

PADAH memiliki barang kawalan melebihi had dibenarkan, sebuah pasar raya terkemuka di Semporna diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Dalam serbuan jam 10 pagi itu, pelbagai barang kawalan dianggarkan bernilai lebih RM120,000 yang disimpan disita.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Semporna, Jong Jee Leong berkata, siasatan awal mendapati pasar raya berkenaan pemegang lesen runcit barang kawalan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan mendapati pasar raya itu memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had dan kuantiti dibenarkan seperti termaktub di dalam lesen.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak kami menyita sejumlah 1,224 kilogram (kg) gula; tepung gandum (860 kg) dan minyak masak (10,128 kg) dalam bentuk paket dan botol pelbagai saiz," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jee Leong berkata, pemilik pasar raya berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1961.

"Bagi kesalahan itu, mana-mana orang atau individu yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Manakala bagi syarikat pula pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 9:53pm
d