mutakhir

Kastam rampas 3.4 tan sayuran import elak cukai

Oleh Norsyazwani Nasri

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Cawangan Miri merampas 3.4 tan sayur import elak cukai di Pelabuhan Bintulu, Selasa lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pihaknya menahan sebuah lori kontena di Jalan Bintulu- Miri pada jam 10 pagi dan pemeriksaan mendapati pemandu seorang lelaki warga tempatan gagal mengemukakan dokumen berkaitan muatan barang dibawa.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kontena itu bersama wakil syarikat pengimport mendapati ia mengandungi lapan jenis sayuran tidak diikrarkan di dalam Borang Kastam 1.

"Anggaran pelbagai jenis sayuran yang dirampas adalah sebanyak 3,462 kilogram membabitkan nilai RM 53,369.15 dan jumlah cukai sebanyak RM5,717.46.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai yang ialah sebanyak RM 59,086.6," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah berkata, modus operandi yang digunakan membawa jenis sayuran berbeza dengan yang diikrar dalam Borang Kastam 1.

"Sayuran ini dipercayai diimport bagi memenuhi permintaan pembekal dan pelanggan tempatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 1:40pm
d