mutakhir

Dr Noor Hisham, KKM terima Anugerah BrandLaureate

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KESUNGGUHAN Malaysia menangani pandemik Covid-19 mendapat pengiktirafan dunia apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerima anugerah daripada Yayasan Jenama Dunia (The World Brands Foundation).

Dr Noor Hisham menerima Anugerah BrandLaureate - Kecemerlangan Jenama Kepimpinan 2020, manakala KKM diiktiraf sebagai penerima Anugerah BrandLaureate - Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan.

Dalam perkongsian beliau menerusi catatan di Facebooknya hari ini, Dr Noor Hisham dengan rendah diri menerima anugerah berkenaan.

Katanya, beliau bagi pihak barisan hadapan dan mereka yang bekerja di belakang tabir mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan antarabangsa itu.

"Kedua-dua anugerah ini mencerminkan dedikasi, komitmen, pengorbanan dan ketahanan setiap individu di KKM serta pelbagai agensi lain untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

"Kami sudah menghadapi banyak cabaran dan rintangan ketika wabak Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini namun kami berjaya mengatasinya bersama-sama," katanya.

Beliau berkata, belum pernah ada kerajaan dan masyarakat bekerja bersama untuk kesihatan awam sehingga menjadikan setiap sektor adalah sektor kesihatan dan realitinya ia kini dapat dicontohi orang lain.

"Terima kasih kepada rakyat atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada barisan hadapan serta pihak berkuasa sepanjang masa yang mencabar ini.

"Marilah kita terus memastikan negara tercinta kita menang dalam perang ini melawan musuh yang tidak kelihatan

"Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, kita jaga negara kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 4:44pm
    d