mutakhir

PDRM sedia terima tindakan sivil

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menerima tindakan sivil daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak boleh menghalang mana-mana pihak daripada berbuat demikian.

"Sesiapa yang tidak berpuas hati mempunyai hak untuk bertindak demikian.

"Perlembagaan dan undang-undang memberi hak itu (mengambil tindakan sivil)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan keluarga Muhammad Adib mahu mengambil tindakan sivil terhadap PDRM bagi menuntut ganti rugi berhubung insiden yang menyebabkan kematian anggota bomba itu.

Bapa arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, dilaporkan berkata, kematian anaknya yang belum terbela menyebabkan mereka sekeluarga masih bersedih biarpun reda dengan pemergiannya.

Malah, pihaknya juga mahu menuntut ganti rugi kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hamid sebelum ini.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Susulan itu, PDRM memulakan siasatan semula selepas mendapat arahan daripada Peguam Negara dan sudah merakam semula keterangan 30 saksi yang sebelum ini tampil ketika inkues kematian Muhammad Adib serta 52 saksi baharu.

Abdul Hamid dalam kenyataan pada 13 Julai lalu, menyangkal dakwaan keluarga Muhammad Adib bahawa PDRM tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner itu.

Katanya, tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat oleh beliau pada 10 Julai lalu yang menyatakan tiada seorang pun saksi melihat Muhammad Adib dipukul termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan Allahyarham.

Menurutnya, sehingga kini siasatan kes itu tidak pernah ditutup dan masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Berita berkaitan

Keluarga Adib mahu saman PDRM

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 5:49pm
d