mutakhir

Peniaga tempatan ganti warga asing

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PASAR raya di sekitar Kuala Lumpur yang dahulunya dipenuhi dengan pekerja warga asing termasuk pendatang tanpa izin (Pati) kini didapati sudah mula dimasuki peniaga warga tempatan hasil usaha berterusan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini beliau berpuas hati terhadap hasil 'turun padang' yang dilaksanakan bagi melihat sendiri operasi pasar basah utama sekitar ibu kota.

Katanya, antara pasar terbabit adalah di Pasar Raja Bot, Pasar Datuk Keramat dan Jalan Petaling.

"Saya sudah dua kali ke Pasar Raja Bot untuk memastikan operasi bukan dijalankan oleh warga asing.

"Saya turun sendiri melihat dan saya berpuas hati terhadap kepatuhan di ketiga-tiga (Pasar Raja Bot, Pasar Datuk Keramat dan Petaling Street) ini dan adalah mustahak pemegang lesen dan penjaja kecil terdiri daripada kalangan warga negara dan rakyat tempatan.

"Saya harap usaha ini dapat terus dikekalkan dan bukan hanya 'hangat-hangat tahi ayam.'

"Warga tempatan perlu mengambil peluang yang terbuka untuk berniaga kerana saya dapati warga asing mampu mengaut keuntungan berganda berniaga di pasar-pasar ini dan saya percaya peniaga kita juga mampu," katanya pada sidang media selepas turun padang ke Pasar Raja Bot di Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar berkata, diharap persatuan peniaga dan penjaja yang terdapat di pasar ini akan memantau serta memastikan tiada warga asing yang mengambil kesempatan dan supaya peniaga tempatan tidak terlalu bergantung dengan golongan itu.

"Bukan kita tak nak langsung warga asing tetapi biarlah mereka yang diambil bekerja itu mengikut jenis permit pekerjaan yang mereka mohon.

"Mana-mana gerai yang kita dapati tidak dibuka dalam tempoh yang lama, DBKL akan tarik semula lesen dan beri kepada peniaga lain," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KWP akan menambah lebih banyak lot gerai di pasar borong Kuala Lumpur (KL), kira-kira 700 lot, bagi memberi peluang kepada semua warga KL menambah rezeki, terutama golongan belia.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 12:34pm
d