mutakhir

20,000 rakyat Malaysia masih terkandas

Oleh Siti Rohana Idris

DIANGGARKAN seramai 20,000 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara dan usaha untuk membawa mereka pulang terus dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bagaimanapun usaha itu akan dibuat secara berperingkat memandangkan ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan kos kepulangan itu tidak hanya ditanggung oleh agensi kerajaan sahaja tetapi turut dibiayai pelbagai penaja lain sama ada bagi penuntut atau mereka yang bekerja di luar negara.

"Kita sedang berbincang di peringkat kementerian untuk mendapatkan data tertentu bagi proses membawa pulang (rakyat), contohnya ramai penuntut nak balik dan berpendapat mereka yang sudah tamat kursus pengajian tidak mahu dilengah-lengahkan (kepulangan).

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan mereka dibawa pulang dan kos membawa balik mereka dibayar penaja tertentu.

"Kita sudah ada satu bajet, tidak begitu banyak tetapi cukup untuk membawa balik sejumlah rakyat Malaysia yang masih terperangkap di luar negara," katanya ketika sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, pihaknya akan memperhalusi kaedah yang akan diambil seterusnya kerana ia membabitkan ramai rakyat Malaysia yang berada di serata pelosok negara termasuk Eropah dan negara Timur Tengah.

"Kita tidak mahu semua kos dipertanggungjawabkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya akan dikategorikan dahulu sebelum memutuskan untuk menggunakan peruntukan kerajaan," katanya.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Amanat Bersama Pengarah dan Pegawai Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang).

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Pada majlis itu, seramai 12 pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi APM Zon Timur 2019.

Selain itu, 14 anggota terpilih sebagai penerima pangkat dan watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM yang terdiri daripada ahli akademik serta sahsiah.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 1:37pm
d