mutakhir

Jambatan rosak, jalan berselut membimbangkan penduduk

Oleh Ramli Ibrahim

KEROSAKAN teruk jalan dan jambatan ke kampung Orang Asli Pos Tohoi, dekat Gua Musang, mengundang beberapa kejadian kenderaan terbalik hampir meragut nyawa pengguna.

Terbaru, sebuah treler sarat muatan balak terjatuh ke dalam anak sungai apabila jambatan kayu separuh reput runtuh semasa dilalui treler terbabit, minggu lalu.

Bagaimanapun, pemandu treler balak terbabit hanya mengalami cedera ringan menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Tinjauan mendapati, jalan ke Pos Tohoi berselut dan licin disamping tiga jambatan kayu usang separuh runtuh berisiko kepada semua kenderaan.

Seorang pengguna jalan itu, Harun Ab Kadir, 57, berkata, masalah kerosakan jalan dan jambatan yang menjadi perhubungan penting pengguna belum ada kesudahan, sejak 15 tahun lalu.

"Apabila hujan lebat ia tidak boleh dilalui kerana jalan berlumpur dan jambatan kayu dilimpahi air sungai.

"Saya dimaklumkan sebelum ini kerajaan pernah berjanji untuk membaiki dan menurap tar jalan terbabit tetapi sampai sekarang belum berbuat demikian," katanya.

Seorang penduduk Orang Asli di Pos Tohoi, Jamil Udin, 41, berkata, kerap berlaku kenderaan terbabas ketika melalui jalan itu terutama apabila hujan lebat.

Menurutnya, tahun ini sahaja beberapa kenderaan termasuk treler balak terjatuh ke dalam sungai kerana jambatan kayu reput runtuh.

Paling membimbangkan, katanya, keselamatan pelajar anak Orang Asli yang berulang alik ke sekolah yang menggunakan jalan itu.

"Kerajaan perlu menaik taraf jalan balak yang rosak teruk itu supaya jalan perhubungan ke bandar ini mudah dilalui dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kerosakan jalan di seluruh perkampungan Orang Asli sedang diambil perhatian.

"Kita akan bincang dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan berkaitan khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk menaik taraf jalan terbabit," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 3:39pm
d