mutakhir

Cuba seludup 108 ikan laga

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan menyeludup 108 ikan laga dari Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ikan laga jenis Betta itu dirampas selepas pemeriksaan ke atas sebuah lori kargo yang ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di pintu sempadan.

Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan anggota AKSEM menemui ikan laga yang disorok di tempat duduk pemandu.

Berikutan itu, katanya, kes diserahkan kepada MAQIS untuk siasatan lanjut.

"Kesemua ikan laga itu dirampas dengan nilai dianggarkan bernilai RM2,160. Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lily Rosalind berkata, perbuatan mengimport apa-apa tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian tanah atau mikro organisma tanpa permit import sah adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta sama.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 4:01pm
d