mutakhir

Giat kempen 'Elak Sembang Dekat'

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan giat melaksanakan kempen 'Elak Sembang Dekat', dalam usaha mengekang gelombang kedua wabak Covid-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kempen itu perlu bagi mendidik orang ramai supaya mengelakkan bersembang dengan jarak dekat kerana titisan daripada individu lain boleh terkena tubuh orang lain sehingga jarak sejauh satu meter.

"Sekiranya terlalu dekat, titisan tidak dapat disekat dan akan sampai ke tubuh orang lain dengan lebih mudah dan pantas (dan membimbangkan) lebih-lebih lagi mereka yang bergejala.

"Kini, sembang dekat menyebabkan banyak berlaku gelombang kedua penularan Covid-19 di dunia," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, keengganan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 membuat ujian dan mereka yang pulang dari luar negara tanpa mengetahui telah dijangkiti antara faktor lain menyebabkan gelombang kedua wabak itu di negara ini, namun beliau tidak menghuraikan secara lanjut.

Sementara itu, Dr Adham berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka mengumumkan harga baharu pelitup muka lebih munasabah dalam masa terdekat.

Katanya, harga baharu bagi pelitup muka itu kemungkinan akan berkuat kuasa bermula 10 Ogos ini, namun harga siling bagi pelitup muka setakat ini dijual RM1.50 sekeping.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat usaha mengurangkan beban kos ibu bapa dalam menyediakan pelitup muka untuk anak mereka ke sekolah setiap hari.

Dr Adham berkata, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di sekolah kerana langkah utama bagi mengelakkan gelombang kedua penyebaran wabak Covid-19 adalah dengan mengutamakan penjarakan sosial, namun pelajar sekolah yang mampu digalakkan memakainya.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melancarkan kempen Cegah dan Didik, Amal, Patuh dan Pantau (CAPP) di Pagoh, Johor pada 8 Ogos ini, bagi mendidik orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan menjadi benteng hadapan dalam melindungi diri, keluarga dan masyarakat setempat daripada penularan Covid-19.

"CAPP adalah satu pendekatan bagi memperkasa Program Pengurangan Risiko Daerah Covid-19 yang bertujuan melindungi daerah hijau agar terus bebas jangkitan wabak itu dan menukar daerah kuning kepada daerah hijau dalam tempoh 14 hari," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 4:58pm
d