mutakhir

'Saya tidak kejam ke atas anak-anak'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

IBU tunggal, Zuraidah Ishak, 31, menepis dakwaan dia bertindak kejam dengan meninggalkan tiga anaknya di rumah mereka di Kampung Teluk Kemang, Port Dickson kerana bekerja di ibu negara.

Katanya, dia akui sejak kisah kehidupan keluarganya tular dan disiarkan akhbar ini, wujud salah tanggapan dalam kalangan masyarakat apabila ada yang mendakwa dia bertindak kejam dengan membiarkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

Menurutnya, pada mulanya dia terkejut kerana tiga anaknya yang terpaksa ditinggalkan di rumah tular di media sosial selepas kisahnya keluar dalam portal Harian Metro dua hari lalu.

"Ramai yang menghubungi saya memuji anak sulung kerana pandai menjaga adik-adiknya dan ada juga yang marahkan saya kerana meninggalkan mereka tanpa pengawasan.

"Jujur saya cakap, hampir setiap minggu saya balik dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua anak saya bawa ke Kajang sebelum menghantar mereka kembali ke sini untuk bersekolah.

"Mungkin anak saya menyampaikan cerita yang wujud salah faham dan kerana itu ada yang marahkan saya kerana meninggalkan mereka tanpa pengawasan tetapi sebenarnya setiap minggu saya balik dan saya tidak sekejam itu," katanya.

Zuraidah berkata, sehubungan itu dia juga mengambil keputusan untuk berhenti bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan di Kuala Lumpur.

"Saya sudah buat keputusan berhenti kerja 24 jam dan kembali ke sini.

"Harapan saya dapat segera mencari pekerjaan baru bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup dan pelajaran anak-anak saya," katanya.

Terdahulu, Zuraidah dikunjungi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang turut menyumbangkan pelbagai barangan elektrik.

Katanya, dia bersyukur kerana banyak pihak sama ada orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pemimpin setempat menziarahi dan menyumbang bantuan kepada keluarganya.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan tiga beradik, Muhammad Nur Aqil, 12, Nur Alya Zaara, 7, dan Muhammad Haiqal Zafren, 10, tinggal di rumah bersendirian kerana ibu mereka terpaksa mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya cuba membantu bagi meringankan beban keluarga Zuraidah.

"Ramai yang menghubungi kami untuk menyumbang dan hasilnya dapatlah kami beli barangan elektrik seperti televisyen, peti ais dan kipas angin.

"Kami juga akan membaiki pendawaian elektrik di dapur dan paip air yang rosak dalam masa terdekat.

"Kami mengalu-alukan sebarang sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini dan juga kerja kosong yang bersesuaian untuk ibu tunggal ini mencari rezeki," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 5:02pm
d