mutakhir

Ipoh bakal menjadi bandar raya terbersih pada 2023

Oleh Balqis Jazimah Zahari

MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) mensasarkan untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya bersih menjelang 2023.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya kini sedang giat melaksanakan pelbagai usaha termasuk penambahbaikan aset dan menambah bilangan kakitangan bagi kerja penyelenggaraan khususnya berkaitan pembersihan.

Menurutnya, ia bagi mengembalikan rekod bandar terbersih yang pernah dipegang bandar raya itu sekitar 60-an.

"Sekarang kita ke arah penggantian aset seperti lori kerana ada di antara aset kita yang sudah berusia 15 tahun dan 10 tahun, kalau aset sudah ketinggalan ia akan menjadi masalah dalam kerja.

"Selain itu, kita akan menambah anggota dan mendigitalkan pentadbiran tanah, apabila kita memiliki semua aspek ini, saya rasa kita sudah boleh menuju ke arah bandar raya terbersih alaf baru.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis penyerahan sijil kepada RPT Pengkalan Permai sebagai Kampung Contoh di Ipoh hari ini.

Rumaizi berkata, beliau berharap warga Ipoh dapat bersama-sama menjaga kebersihan bagi merealisasikan sasaran itu.

Sementara itu, beliau berkata, pengiktirafan RPT Pengkalan Permai sebagai RPT Contoh juga antara langkah awal untuk merealisasikan perkara itu.

"Aktiviti ini adalah kesinambungan Program Pematuhan Pembersihan Lot Semak-Samun Sendiri (3P3S Kendiri) yang bertujuan memberikan kesedaran kepada orang awam terutama pemilik lot kosong atau rumah terbiar mengenai tanggungjawab memupuk amalan penjagaan kebersihan kesihatan persekitaran secara kendiri.

"Tindakan seumpama ini bakal menjadi titik tolak dalam mengubah mentaliti warga Ipoh dalam menjaga kebersihan.

"Sekiranya warga Ipoh bersikap seperti penduduk RPT Pengkalan Permai, saya yakin daerah ini bakal menjadi bandar raya terbersih," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 5:25pm
d