mutakhir

Radzi tawar diri tanding Naib Presiden Bersatu

Oleh Abdul Rahemang Taiming

KETUA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ketereh, Dr Radzi Jidin mengesahkan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan tertinggi parti itu Ogos depan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan parti berkata, hasrat untuk merebut salah satu daripada tiga jawatan naib presiden itu adalah untuk memperkukuhkan parti.

"Saya menawarkan diri bertanding dengan niat untuk membantu Yang Amat Berhormat Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan parti dan memastikan Bersatu sentiasa dekat di hati rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Santai Tengah hari bersama pemimpin Bersatu Tawau, Kalabakan, Semporna dan Silam yang turut dihadiri Ketua Bersatu Bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, hari ini.

Selain Radzi, seramai 18 calon bertanding bagi jawatan Naib Presiden, antaranya Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan pemilihan itu, beliau berkata, setakat ini segala persiapan untuk proses pemilihan yang dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP) diketuai Tan Sri Hamid Albar tersusun rapi dan berharap ia dapat dilaksana dengan baik.

"Semoga kepimpinan baharu yang akan dilantik akan terus dapat mengukuhkan parti dan memastikan Bersatu terus berkembang dan mendapat sokongan dan dokongan rakyat," katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk merebut jawatan Naib Presiden beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli dalam membuat keputusan calon yang akan diangkat untuk memegang jawatan itu.

Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.

Turut menang tanpa bertanding (tidak rasmi) Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan itu.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 5:31pm
d